minggu integriti

February 21, 2008 at 1:03 am (Uncategorized)

Sambutan Minggu Integriti Kaunseling meriah

Oleh RABIATUL ADAWIYAH YAHYA  

 USIM- Kehangatan sambutan Minggu Integriti di setiap fakulti sedang giat berlangsung dan tidak ketinggalan program Kaunseling yang menganjurkan Program Pengujian Psikologi, terbuka kepada setiap mahasiswa dan juga kakitangan FKP. Program berlangsung di foyer FKP selama tiga hari bermula dari 29 hingga 31 Januari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar.  

Pengarah program, Abdul Hadi B. Mohd Noh, berkata program ini adalah untuk membantu mahasiswa mengenali diri dan personaliti masing-masing. Selain itu, gerai-gerai kecil juga dibuka untuk memudahkan mahasiswa melibatkan diri dalam program mereka. “Program ini bersifat umum dan terbuka kepada warga USIM untuk menjalani aktiviti yang telah disediakan dan lebih kepada ujian psikologi, mengandungi tiga ujian iaitu Ujian Sikap Tanggungjawab, Ujian Populariti dan Ujian Hoka-Hoki,” tambah beliau lagi.  Setiap ujian yang dijalankan adalah dengan mengisi borang dan melalui online untuk menarik perhatian warga kampus. Selain itu, aktiviti lain seperti tayangan ceramah motivasi juga diselitkan sebagai tontonan warga kampus yang hadir.   

Program ini adalah anjuran FKP dan mahasiswa Tahun Tiga Kaunseling yang mengetuai setiap gerai memberi huraian tentang setiap yang terdapat pada gerai masing-masing. Sambutan yang diterima oleh mahasiswa amat menggalakkan.  “Sepanjang berlangsungnya Minggu Integriti, saya dapati ramai mahasiswa yang berkunjung ke gerai kami dan kalau tidak silap saya hampir 200 orang.    “Saya berharap agar warga USIM dapat memeriahkan lagi program ini kerana bukan mudah untuk kita dapati di luar kerana melibatkan kos dan susah untuk berjumpa dengan kaunselor. Apa yang kami anjurkan ini hanyalah percuma dan harap mahasiswa dapat merebut peluang ini dengan sebaik mungkin. Selain itu, saya juga berharap pihak kami dapat memberikan servis terbaik buat warga kampus yang hadir,” tambah beliau lagi.

Abdul Hadi Mohd Noh, pengarah program Pengujian Psikologi.

                                                                  

Permalink Leave a Comment

sahabat tikam belakang

February 18, 2008 at 6:07 am (Uncategorized)

Sahabat tikam belakang? Pernahkah anda mengalaminya? 

 “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran disisisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim) “Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..” (Haslinda Lukman, Majalah Cahaya Feb 06) Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah  hubungan yang sangat mulia kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang individu. Ada sahabat yang sanggup menghulurkan tangan ketika kita susah dan menjadi peneman di saat kita sedang berduka. Namun, tidak kurang juga sahabat yang hanya tahu menumpang kesenangan di atas sahabat yang lain. Bila sekali kita jatuh, jangankan hendak menghulurkan tangan, memandang wajah kita jauh sekali. Saya yakin, bukan sahabat jenis ini yang anda mahukan. Sahabat? Apa itu sahabat?. Ada orang kata sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul. Ada juga orang kata sahabat itu diiibaratkan macam bola ragbi, belum dapat direbut, dah dapat dilindung dan dijaga. Apa pun takrifannya, bagi saya seorang sahabat itu amat sukar dicari, lebih sukar ditinggalkan, dan mustahil dilupakan, seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka duka dan menyelami perasaan sahabatnya yang lain, menghulurkan tangan di kala kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Berbeza dengan istilah kawan, bergantung kepada individu untuk mendefinisikannya, tetapi bagi saya seorang kawan tidak ada yang istimewa, hanya sesuai untuk dijadikan tempat berborak dan biasanya kawan untuk bergembira lebih ramai daripada kawan berduka. 

Apakah ciri-ciri sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: ”Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti ; jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu; jika engkau rapatkan persahabatan dengannnya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan  baik; jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu. “Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya; jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu; jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu; jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu; jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; jika kamu berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan; dia membantu menunaikan tanggugjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat; dan yang terakhir sekali ialah dia mendorongmu dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

“Pernahkah sahabat anda menikam anda  daripada belakang?. Apakah perasaan anda ketika itu? Adakah marah, pedih, perit, benci atau dendam bermaharajalela di dalam hati anda?. Daripada apa yang saya faham, tikam belakang ini merupakan satu tingkahlaku di mana seorang sahabat bermuka-muka depan sahabatnya yang lain. Sebagai contoh, depan kita segala-galanya baik, manis tetapi di belakang kita, dialah gunting dalam lipatan. Segala rahsia dan amanah yang kita kongsikan bersama dengannya, habis dijaja kepada orang lain dan yang lebih menakutkan apabila ianya melibatkan maruah kita. Perbuatan seperti ini tidak memberi manfaat malah lebih memburukkan keadaan kedua belah pihak dan juga masyarakat sekeliling yang telah mengetahui perkara sedemikian. Secara tidak langsung, pihak yang telah ditikam belakang itu tadi akan merasa ditindas, dianiayai dan dimalukan oleh sahabat sendiri. Tikam belakang biasanya terjadi apabila seseorang itu menyimpan perasaan iri hati terhadap orang lain, tidak berasa senang dengan apa yang mereka ada, cemburu dan dengki di atas kejayaan orang lain.

Dalam urusan bisnes pula, seseorang itu sanggup menikam sahabat mereka demi untuk mencapai apa yang diingininya, menjatuhkan sahabat sendiri dan mentertawakan mereka setelah berada di puncak. Selain itu juga, bagi mereka yang menyimpan dendam terhadap seseorang mungkin menjadi salah satu punca tikam belakang berlaku dalam persahabatan. Demi kerana dendam yang tidak berbalas, individu ini sanggup mengambil jalan mudah untuk menganiaya sahabat sendiri sekalipun bersahabat selama bertahun-tahun.  Akibat daripada insiden tersebut, hubungan individu dengan sahabatnya akan menjadi renggang seterusnya menjadi penghalang untuk mereka kembali menjadi intim. Keadaan ini akan berterusan, mungkin untuk sebulan, setahun atau mungkin selama-lamanya, bergantung kepada mereka yang mengalaminya dan sejauh mana kekuatan diri mereka dapat bertahan.

Adakalanya, mereka yang pernah ditikam belakang ini akan menyimpan perasaan dendam sekalipun mereka telah memaafkan individu yang menganiaya mereka. Ini kerana, bukan mudah bagi mereka untuk melupakan apa yang telah diperlakukan ke atas mereka lebih lagi jika ianya melibatkan maruah mereka yang telah tercalar dan diketahui oleh umum. Oleh itu, berwaspadalah bila kita berbicara kerana kita tidak sedar adakalanya kita membuka cerita orang lain sehingga boleh mendatangkan aib pada individu yang terbabit. 

Di sini ada beberapa responden yang pernah dianiaya oleh sahabat sendiri, lebih lagi jika sahabat itu merupakan tempat kita berkongsi segalanya sehinggakan ahli keluarga keduanya telah pun saling mengenali. Ikuti kisah Noor Syahadah Yaziz, pelajar USIM. “Saya bersahabat dengan S ketika saya menjalinkan hubungan dengan A. Pada ketika itu, S memang mengetahui hubungan kami dan tidak putus-putus menyatakan doanya agar kami dijodohkan bersama. Ibu bapa saya juga mengetahui perhubungan di antara kami bertiga. S saya anggap seperti kakak sendiri dan ibu saya menganggapnya sebagai anak. Hubungan kami memang intim sehinggakan tiap kali saya dan A keluar, S akan turut serta. Hari-hari yang dilalui memang indah tetapi ianya tidak ke mana. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun setelah saya perhatikan, A dan S seakan-akan mempunyai hubungan istimewa tetapi merahsiakanya daripada saya. Suatu hari saya di kejutkan dengan berita yang tidak saya jangkakan langsung. A dan S memberitahu saya mengenai perancangan mereka untuk membina masjid pada tahun ini. Dan mereka mahukan saya berada dalam majlis tersebut. Kata mereka, kehadiran saya amat penting. Saya jadi bingung, di mana harus saya letakkan maruah saya yang yang telah tercalar, depan-depan saya mereka guris perasaan saya, hancur dan remuk hati saya. Di waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hati ini. Tergamak mereka berbuat demikian. Adakalanya saya bermonolog sendirian, apakah silap saya hinggakan mereka sanggup menganiaya sahabat dan kekasih sendiri?. Saya sudah memaafkan mereka tetapi untuk menerima mereka kembali dalam hidup saya, itu sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin saya lakukan sekalipun mereka merayu.” Begitulah luahan hati Noor Syahadah. Sebagai sahabat, tidak sepatutnya perkara sebegini berlaku, lebih-lebih lagi kita sedia maklum yang sahabat kita sudah mempunyai seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Dan sebagai seorang kekasih, janganlah kita bersikap seolah-olah tiada perasaan setelah kata-kata manis dan segala janji telah ditabur kepada Syahadah.

Seterusnya, mari kita ikuti cerita Norlaili Zakaria, juga pelajar USIM. “ Dalam bersahabat, tidak semuanya baik. Kadang-kadang sahabat ni hanya tahu bermuka-muka. Depan kita, manisnya ayat, lembut gigi dari lidah. Belakang kita, segalanya diperkatakan hingga tidak sedar yang kita telah mengaibkan individu lain. Macam seorang sahabat saya ni, dahulu kami rapat dan saling bercerita serta berkongsi masalah. Tetapi satu hari, sahabat saya ni sanggup bercerita buruk di belakang saya. Geramnya Tuhan sahaja yang tahu. Saya ni penyabar orangnya dan tidak berdendam. Saya tidak akan serang orang tersebut, tetapi kalau tingkahlakunya melebihi batasan, tidak mustahil saya “meletup”. Bagi saya, mungkin dia ingin dilihat sempurna di mata orang lain atau mungkin juga ada faktor lain. Hubungan kami pun sudah renggang dan adakalanya hanya sekadar bertegur sapa sahaja. Susah untuk mencari sahabat yang betul-betul sahabat, yang ada hanya kawan yang menemani di saat kita gembira sahaja.” 

Itulah dua responden yang telah sudi berkongsi pengalaman mereka mengenai tikam belakang. Di sini, ada beberapa pandangan dari tutor Kaunseling, FKP. Kita ikuti apa kata En Mohd Isa Amat. “ Tikam belakang atau backstabbing merupakan satu keadaan di mana sahabat karib telah melakukan satu perkara yang tidak sepatutnya kepada sahabat sendiri. Bergantung kepada individu, adakah tikam belakang ini satu habit atau perlu berbuat begitu untuk melindungi atau untuk mengelakkan dirinya daripada menerima akibatnya. (bergantung kepada situasi). Perkara ini berlaku apabila tiga elemen ini bergabung iaitu fikiran, tingkahlaku dan perasaan. Tiga elemen ini penting dalam perlakuan kita seharian. Apabila ianya bergabung, maka perbuatan adalah perkara terakhir. Adakalanya kesannya lebih teruk bagi kedua belah pihak sehinggakan membawa kepada kebencian tetapi kita kena bijak membezakan sama ada kita membenci empunya diri atau perbuatannya.” Begitulah penerangan dari En. Isa.

Seterusnya, seorang lagi tutor, En. Amin Al-Haadi Shafie akan menghuraikan dengan lebih jelas lagi mengenai tikam belakang. “ Pada saya, istilah tikam belakang ialah apabila sahabat telah melakukan satu perkara di luar jangkaan sahabatnya dan buat kita rasa dikhianati. Istilah sahabat berbeza dengan istilah kawan. Punca berlakunya perbuatan sedemikian disebabkan perasaan iri hati dan kerakusan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu inginkan sesuatu dengan cara yang cepat, dia mahu tunjukkan kepada orang ramai yang dirinya berkuasa dan lebih mantap. Secara idealistik, perkara ini tidak sepatutnya terjadi tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang setiap orang pernah mengalaminya atau mungkin akan mengalaminya. Orang kata, bila bersahabat kita tidak boleh memilih, tetapi itu silap. Kita kena bijak memilih sahabat kerana sahabat dapat menceriakan diri kita. Jangan sesekali kita risau tidak ada orang yang ingin bersahabat dengan kita kerana dunia ini luas dan ramai lagi yang ingin bersahabat dengan diri kita dan menerima diri kita seadanya. Sebelum pisang berbuah dua kali, pilihlah sahabat yang benar-benar sahabat.” 

Akhir kalam, setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, anggap ianya sebagai asam garam dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk semua itu tetapi kita juga tidak boleh menolak apa yang telah tertulis ke atas diri dan berusahalah untuk memperbaiki kehidupan agar lebih ceria di samping sahabat-sahabat yang anda sayang. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan biarlah ikhlas kerana Allah 

           

Permalink 1 Comment

bestnyer iCep’s kali ni..

February 17, 2008 at 8:15 am (Uncategorized)

hai kawan2, mesti kawan2 semua ada pergi ke program iCep’s yang kat stadium tue kan?. ala, program anjuran 4rd year FEM’s student tue, setiap tahun dianjurkan sebab tue final project diorang. Em, walaupun assignment berlambak tapi kawan2 semua mesti tak lepaskan peluang keemasan macam tue kan. Yela, dapat cuci mata dengan melihat pelbagai jenis pakaian, tudung, aksesori, handbag, jam tangan, cenderamata dan macam2 lagi la. Sampaikan aku pun bukan setakat window je, malah shopping sakan lagi. Hampir ratus jugak la duit keluar, biasalah orang perempuan, bila shopping tak ingat dunia. Duit mengalir macam air je, sedar2 dalam bank dah kering. Time ni, menangis pun dah tak guna, maklum la, alang2 shopping tue biarlah “belanja besar”. Bak kata orang, alah membeli, menang berbelanja, betul tak? hehehe….tapi, biarlah berpada-pada kan?.

 tetapi, apa yang ingin di highlightkan di sini, program tue memang dahsyat.. sambutan memang menggalakkan, bukan setakat student aje yang join, orang luar pun ramai jugak yang hadir. Nampaknya, program tue memang dikategorikan berjaya jika dilihat pada luarannya. Apa pun, tahniah buat semua pelajar yang terlibat, korang memang the best..!

 

Permalink Leave a Comment

murtad..?

February 16, 2008 at 4:41 am (Uncategorized)

Murtad: Antara emosi dan realiti 

Oleh: MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

     MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam s urah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).  

Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.    

Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.  

Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada pelanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. 

Apabila pelanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad.   

Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana- mana pihak. Pernyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja.   

Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin.

Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak- perandakan masyarakat Islam.   Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar.   

Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad.   

Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba- tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana sini, ada pejabat agama dan mufti, pelbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad.   

Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam.   

Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan menteri Jakim, mufti-mufti kesemuanya yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.   Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadangkala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid Cina. Antara sebabnya membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu-membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itu pun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti Melayu.  

Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!   Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya, dia telah ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya tidak dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali ustaz berkenaan kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Ya syeikh! Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!  

Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”  

Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa Melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula? Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita? Apa pula yang hendak kita buat dengan Internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya? Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang- orangnya diberi kesempatan membaca al- Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang?    

Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik dalam menjawab Bible. Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang pelbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘tak pandai’ maka pelbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar pelbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan: (maksudnya) Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang- orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).   Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pula mereka berminat membaca Bible? Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.  

 Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?   Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami al-Mu‘asir, 3/438).   

Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan pentafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan dialog tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di pelbagai saluran.   Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita.

Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.- Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

 

Permalink Leave a Comment